Isnin, Mac 28, 2011

Motivational Talk : Doa

Penyampai : Muhammad Faiq bin Che Kamarudin
Tarikh : 3 Mac 2011

Maaf kerana lambat update.

Pada pagi tersebut, Faiq telah menyampaikan sebuah motivasi pagi berkenaan doa. Kita selalu berdoa, meminta dan berharap kepada Allah tentang apa yang kita mahu.

Menurutnya, doa ini bertujuan untuk menyerahkan diri kepada Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita kehendaki.

Tetapi, janganlah kita berputus asa, mengeluh dan merungut apabila doa kita tidak dimakbulkan. Hendaklah kita sering beringat, dan bersangka baik kepada Allah kerana Allah lebih tahu apa yang kita tidak tahu. Doa kita insyaAllah akan dimakbulkan, sama ada cepat atau lambat sahaja. Ini kerana Allah hanya ingin memberikan apa yang terbaik bagi kita.

Oleh sebab itu, kita hendaklah bertawakkal dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah atas permintaan kita itu.

Ditambah oleh pengerusi majlis, iaitu Afnan, adalah amat rugi seandainya kita tidak berdoa selepas solat, walaupun di dalam solat itu telah ada banyak doa. Ini kerana, Nabi Muhammad s.a.w menjadikan doa itu sebagai zikir, yang sering diamalkan sepanjang masa. Oleh itu, doa bukan semata-mata semasa solat atau selepas solat sahaja.

Ini juga menunjukkan, bahawa doa tidaklah semestinya kena menadah tangan. Ada sesetengah orang yang tidak mengusap muka selepas berdoa. Perkara ini merupakan perkara yang khilaf, jadi tidaklah perlu dibahaskan dengan panjang.

Afnan juga menyentuh berkenaan sambutan hari lahir. Seelok-eloknya, perkara yang bukan budaya kita janganlah dijadikan amalan, tidak manis dipandang orang dan boleh menimbulkan fitnah. Contoh yang paling mudah, acara meniup lilin yang dikatakan sama dengan amalan agama Majusi. Sebaik-baiknya, iringilah sambutan hari lahir kita dengan doa atas kesyukuran dengan usia yang kesihatan yang telah Allah kurniakan, dan juga sebagai satu peringatan atas usia kita yang semakin pendek.

Motivasi pagi ini diakhiri dengan sesuatu yang boleh kita fikir-fikirkan; Allah sudah tahu apa yang ingin kita minta, tetapi hanya tinggal usaha dari kita sahaja untuk meminta dariNya.

Tiada ulasan: