Isnin, Julai 25, 2011

Motivational Talk : Masalah dan Diri Kita

Penyampai : Nurul Amira Husna Binti Sharrudin
Tarikh : 18 Julai 2011

Motivasi kali ini berkenaan masalah dan bagaimana untuk mengendali dan menerima masalah tersebut. Penyampai bercerita tentang seorang lelaki yang suka mengeluh dek masalah yang dihadapinya. Pada suatu hari, lelaki tersebut membawa diri ke hujung kampung. Di hujung kampung tersebut terdapat sebatang sungai. Di sana, lelaki itu ingin melepaskan tekanan yang dihadapinya.

Di tepi sungai tersebut, ada seorang lelaki tua. Lelaki tua itu kelihatan tenang saja riak wajahnya dan perlakuannya. Si lelaki yang suka mengeluh itu meluahkanlah apa yang ditanggungnya kepada lelaki tua itu. Setelah selesai bercerita, si tua mengajak lelaki yang suka mengeluh itu ke satu tempat.

Di tempat tersebut, terdapat sebuah kolam, sebiji cawan dan dua bungkus garam. Si lelaki tua menyuruh lelaki yang suka mengeluh itu mengambil cawan tersebut dan menceduk air kolam tersebut. Seterusnya disuruhnya mengambil sebungkus garam dan isikan garam tersebut ke dalam cawan. Bila disuruh dihirup airnya, lelaki yang suka mengeluh itu mengatakan air itu masin.

Lelaki tua itu seterusnya menyuruh lelaki yang suka mengeluh itu mencurahkan sebungkus garam yang tinggal itu ke dalam kolam dan dihirup airnya. Lelaki yang suka mengeluh itu mengatakan air itu tidak masin seperti air di dalam cawan.

Garam itu ibaratkanlah seperti masalah, cawan dan kolam sebagai hati kita. Andai hati kita kecil seperti cawan itu, kita akan rasa sangat terbeban dengan masalah yang kita hadapi. Manakala andai hati kita besar seperti kolam itu, masalah itu tidak membuat kita terasa susah hati malah boleh membuat kita tersenyum.

Pengajaran daripada cerita di atas:
Berlapang dadalah atas masalah yang datang. Allah memberi kita ujian dan masalah berdasarkan kemampuan kita. Dia tidak akan menzalimi kita dengan memberi sesuatu yang tidak mampu untuk kita tanggung.

Rabu, Julai 13, 2011

Motivational Talk : Kesempatan Untuk Bahagia

Penyampai : Muhammad Syahid bin Mohd Adli
Tarikh : 11 Julai 2011

Motivasi pagi kali ini yang diberikan oleh Syahid adalah berfokuskan tentang bagaimana bahagia boleh dinikmati. Ada pendapat mengatakan, bila kita senang (kaya), kita boleh bahagia. Masa kecil dulu pun, mak pernah cakap, nanti belajar rajin-rajin, boleh kerja besar, nanti hidup senang.

Tapi bila meningkat dewasa, terkadang kita tak mampu untuk gembira dan bahagia meskipun kita punya kelebihan dari segi material. Malahan, kelebihan itulah yang membuatkan hidup kita terasa kosong dan tidak bermakna.

Makanya, di sini disertakan tiga cara bagaimana untuk menikmati kebahagiaan hidup, yang sedikit sebanyak boleh kita praktikkan. InsyaAllah, kita semua akan berasa gembira dan berpuas hati.

1. Nilai Kemanusiaan

Nilai kemanusiaan ini adalah dengan memberi apa yang kita ada lebih, berkongsi bersama orang-orang yang tersayang, sahabat-sahabat mahupun fakir-fakir miskin.

Contohnya, cuba kita buat kejutan hari lahir untuk ibu tersayang, pastilah dia akan berasa gembira dan terharu. Takkanlah kita tak gembira bila ibu kita gembira kan?

Ataupun, bila kita menghulurkan bantuan persekolahan untuk kanak-kanak yang dijaga oleh neneknya yang tua yang tinggal di rumah kecil dan buruk tak berair tak berapi; kita boleh nampak jelas kegembiraan dan kesyukuran pada kanak-kanak itu, pada neneknya. Apa perasaan kita pada ketika itu agaknya?

Bersedekahlah, dan gembirakanlah orang lain. InsyaAllah, kita pun akan rasa gembira dan bahagia.

2. Berpengetahuan

Pengetahuan merupakan satu perkara yang terpenting dalam kehidupan kita. Kita mula belajar sedari dalam perut ibu, dan kanak-kanak merupakan peringkat di dalam kehidupan dimana proses pembelajaran berkembang dengan pesat. Akan tetapi, tambahlah ilmu biarpun usia makin lanjut.

Kepentingan pelajaran bukanlah semata dengan mudahnya untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus dan berpendapatan tinggi. Ianya lebih dari itu. Ilmu membuka minda kita untuk berfikir dengan luas di luar kotak, yang mengaktifkan sel-sel di dalam otak kita yang seterusnya melambatkan proses nyanyuk apabila kita sudah tua.

Apa pula perkaitan dengan kebahagiaan?