Khamis, Februari 24, 2011

Pengumuman Pemenang Bagi Calon JPP 2011 / 2012



Bismillahirrahmanirrahim..

Kami, dengan ini, mengucapkan berbanyak-banyak tahniah kepada pemenang-pemenang pilihanraya kampus, yang baru saja diumumkan sebentar tadi.
Dan berbanyak-banyak tahniah khususnya kepada wakil dari kelas kami, iaitu Muhammad Afnan bin Tumiran dan Wan Ajrina binti Wan Ahmad kerana berjaya menang untuk kerusi exco. Dan juga berbanyak-banyak tahniah sekali kali untuk sahabat kami, Muhammad Afnan bin Tumiran kerana memperolehi undian terbanyak bagi kerusi exco, dan juga keseluruhan.



Afnan semasa ucapan bagi wakil exco.



Orang yang tengah cuak pada asalnya. Tapi bila acu kamera terus pose sambil senyum. Hebat betul kuasa kamera kepada beliau.

Dengan ini, termaktublah insan-insan ini yang dipilih Allah, untuk berada di atas kami, mewakili kami dan suara kami, sebagai pemimpin kami. Dan insyaAllah, selagi masih bertepatan dengan syariat Islam, kami akan menyokong anda, membantu anda, sehebat sewaktu kami bersama-sama menyokong anda untuk bertanding dahulu.

Weeeeeeee~~~~~

Sangat happy ye (^_^)

Selasa, Februari 22, 2011

Usrah Bulanan : Maulidur Rasul

Pada hari ini, telah diadakan usrah bulanan yang bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini. Usrah ini telah dilaksanakan dengan membuat kuiz berkenaan sirah RasuluLlah. Kuiz ini dibuat secara berkumpulan.

Berikut merupakan soalan kuiz tersebut:

1. Tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW.
A. 12 Rabiul Awal
B. 12 Rabiul Akhir
C. 12 Rejab

2. Nama datuk dari sebelah bapa Nabi Muhammad SAW.
A. Abdul Talib bin Hashim
B. Abi Talib bin Hashim
c. Abdul Muttalib bin Hashim

3. Nama datuk dari sebelah ibu Nabi Muhammad SAW.
A. Wahab bin Abdul Manaf
B. Wahab bin Al Musa
C. Wahab bin Sulaiman

Isnin, Februari 21, 2011

Motivational Talk: Ikhlas

Penyampai : Muhammad Nasrul Abu Bakar
Tarikh : 21 Februari 2011

Motivasi pagi kali ini dimulakan dengan memperkenalkan satu seni nyanyian yang dipanggil 'Nazam'. Nazam popular di Melaka. Seni ini dibawa dari tanah Arab, yang dimulakan dengan selawat dan mempunyai unsur-unsur agama. Kini, terdapat nazam asli dan nazam moden. Ianya selalu dinyanyikan oleh kaum perempuan dan dinyanyikan untuk memulakan majlis.

Kemudian, penyampai meneruskan dengan tajuk utama, iaitu ikhlas.

Penyampai menceritakan tentang pengalaman beliau ke Kuala Lumpur dan terjumpa sekumpulan pelajar yang sedang menyampaikan dakwah kepada pelancong-pelancong asing yang datang ke Masjid Negara. Terdapat risalah-risalah yang diedarkan oleh sekumpulan pelajar tersebut, dan salah satunya berkisar tentang ikhlas.

Maksud hadith:
Terdapat tiga perkara yang mengiringi seseorang ke liang lahad, iaitu keluarga, harta dan amal. Keluarga akan meninggalkan kita di kubur, harta pun akan pergi tinggalkan kita, cuma amal sahaja yang akan menemai kita di dalam kubur.

Ikhlas termasuklah dalam golongan amal itu.

Jumaat, Februari 18, 2011

Sambutan Maulid Nabi Peringat IPGKTAA 2011


Satu sambutan sempena ulangtahun kelahiran rasul kita, Nabi Muhammad s.a.w, atau umum disebut sebagai Maulidur Rasul, telah diadakan pada peringkat IPGKTAA pada malam 17 Februari 2011, iaitu pada malam Jumaat baru-baru ini. Sambutan ini dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib bersama-sama, membaca surah Yaasin dan tahlil serta solat Isya’ berjemaah. Selepas Isya’, para pelajar Muslim serta pensyarah berarak sambil berselawat kepada RasuluLlah, daripada perkarangan surau Asy-Syafie sehingga ke Dewan Darul Makmur, mengiringi sepanduk-sepanduk yang telah dilukis oleh jabatan masing-masing.




Acara kemudian diteruskan dengan ceramah sempena Maulid Nabi ini, oleh Ustaz Mohd Akmal bin Abdul Manaf, Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis.
Isi ceramah ini berkisar tentang Nabi Muhammad s.a.w, bagi mengingat kembali sirah baginda, juga mengupas sedikit sebanyak berkenaan kehebatan baginda, keistimewaan, akhlak dan perilaku Nabi, juga tanggungjawab kita sebagai umat Islam, sebagai umat Muhammad ini dalam menjalani hidup di dunia ini.

Manifesto

Rabu, Februari 16, 2011

Majlis Penamaan Calon JPP 2011

Pada hari ini, jam 2.30 petang telah diadakan Majlis Penamaan Calon bagi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bagi tahun 2011. Majlis ini diadakan di Kafe Sayyidatina Aishah di hadapan bilik gerakan JPP.

Unit kami telah sepakat sebulat suara untuk menghantar dua orang wakil, iaitu Muhammad Afnan bin Tumiran dan Wan Ajrina binti Wan Ahmad. Keputusan ini telah diperoleh setelah beberapa kali proses mengundi, serta tidak lupa istikharah dan doa kepada Yang Maha Mengetahui bagi membimbing kami dalam membuat keputusan.


Afnan bersama pencadang dan penyokongnya, Syahid dan Alimie.




Ajrina bersama pencadang dan penyokongnya, Hafiz dan Janna.


Walaupun ini hanyalah satu langkah yang mudah dan baru satu langkah pertama dalam membentuk wakil JPP, namun begitu, langkah pertama inilah yang paling penting dalam menentukan hari esok. Ini kerana, langkah inilah yang menghasilkan insan yang bernama pemimpim dalam mendukung amanah daripada Allah SWT. Perlu diingatkan, jangan dipandang enteng mana-mana jawatan dan tanggungjawab yang sedang dan akan kita sandang. Ini kerana, kebaikan dan kejahatan itu pastilah akan dihitung di hari akhir nanti walaupun nilainya sekecil zarah yang maha halus. Dan ingatlah juga, tanggungjawab dan amanah ini sangatlah berat bagi seseorang itu untuk menjalankannya. Mintalah petunjuk daripada Allah, usah tinggalkan istikharah dan berdirilah di bumi yang nyata.

Bagi yang dipimpin, berilah sokongan padu anda pada pemimpin, selagi mana dia tidak melanggar mana-mana syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Bantulah rakan-rakan anda yang pastinya akan banyak ketinggalan dalam kelas, faham akan kesibukan mereka, dan tegurlah mereka dengan baik sekiranya terdapat perkara-perkara yang tidak menyenangkan berlaku. Janganlah tinggalkan mereka terkontang-kanting di saat mereka sangat memerlukan kita.

Akhir kata, selamat berjaya kami ucapkan kepada Afnan dan Ajrina, dan juga semua yang akan bertanding dalam merebut kerusi dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.

Isnin, Februari 14, 2011

Motivational Talk: Ikhtilaf

Penyampai: Muhammad Syauqi bin Zainal Abidin
Tarikh: 14 Februari 2011

Ikhtilaf adalah satu perkara yang selalu kita alami, tapi tak pernah kita tahu akan istilahnya sama ada dari segi bahasa mahupun konsepnya.

Ikhtilaf dari segi bahasa bermaksud percanggahan.

Terdapat dua jenis ikhtilaf, iaitu ikhtilaf berkenaan perkara-perkara furuq iaitu perkara-perkara cabang seperti perkara dalam hukum hakam serta cara melakukan ibadah dan cara hidup, dan ikhtilaf berkenaan perkara-perkara usul iaitu perkara-perkara asas yang berkenaan dengan akidah.

Terdapat adab-adab dalam menangani ikhtilaf ini. Dalam menghadapi ikhtilaf dalam perkara furuq, kita hendaklah berlapang dada. Ini kerana terdapat berbagai percanggahan walaupun dalam agama, dan percanggahan ini adalah berbeza sama ada dalam konteks mazhab dan juga dalam budaya sesetengah negara atau kaum. Sebagai contohnya, terdapat mazhab yang tidak mewajibkan bagai wanita menutup kakinya. Ada juga mazhab yang apabila solat, tangan tidak di'qiam'kan di pusat tetapi sama ada di dada, mahupun tidak ber'qiam' langsung.

Isnin, Februari 07, 2011

Motivational Talk : Himpunan Tiga Cerita

Penyampai: Mohd Afnan Tumiran
Tarikh: 7 Februari 2011

Cerita Pertama

Pada zaman penyebaran agama Islam, ada diceritakan Rasulullah s.a.w sentiasa menyuapkan makanan kepada seorang kafir yang buta. Orang buta yang tidak tahu bahawa yang menyuapkan makanan itu ialah Rasulullah, juga mendengar berita tentang agama baru itu selalu memberi amaran kepada orang yang menyuapkannya itu supaya berhati-hati pada 'penyair' (Rasulullah), mengeji dan memburukkan baginda.

Setelah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar ingin meneruskan pekerjaan yang selalu dilakukan Rasulullah semasa hayat baginda. Satu masa, Saidina Abu Bakar bertanya kepada Saidatina Aishah, apakah lagi pekerjaan yang tidak beliau lakukan. Maka Aishah bercerita berkenaan orang kafir buta itu. Maka Saidina Abu Bakar pun pergi bertemu orang buta itu ddengan niat untuk menyuapkan makanan kepadanya. Namun orang kafir buta itu terasa kelainan pada orang yang menyuapkannya. Bila Saidina Abu Bakar menyatakan bahawa dialah orang yang selalu menyuapkannya, orang buta itu berkata 'Orang yang selalu menyuap aku melembutkan dulu makanan sebelum menyuapku.'