Isnin, Mac 28, 2011

Motivational Talk : Memerhati dan Belajar, dan Nikmat Yang Ditarik

Penyampai : Mohd Alimie bin Zawawi
Tarikh : 28 Mac 2011

1. Memerhati dan Belajar

Kita sebagai seorang manusia, hendaklah berlajar dari semua perkara yang ada di sekeliling kita, walaupun ianya dari benda yang tidak baik. Sebagai contoh, kita boleh ambil pengajaran daripada seorang pencuri. Kita akan belajar bahawa mencuri itu bukanlah perkara yang baik dan membawa kebaikan, maka perlulah kita hindari. Contoh yang lain pula, kita juga boleh belajar daripada seorang budak kecil. Kanak-kanak selalu bergaduh sesama mereka, tapi sekejap sahaja bergaduhnya. Bergaduh macam mana pun, petangnya boleh bermain bersama-sama. Mereka tidak memendam dendam seperti kita yang sudah dewasa dan berakal ini.

Alimie meneruskan motivasi dengan bercerita berkenaan Saidina Umar Al-Khattab dengan seorang budak kecil. Saidina Umar pernah terjumpa dengan seorang budak kecil yang sedang menangis dan bertanya akan sebabnya. Budak kecil itu berkata, 'Aku melihat ranting-ranting kayu digunakan orang untuk mula membuat unggun api. Aku teringat akan neraka. Unggun api ini mula dinyalakan dengan ranting yang kecil, sama seperti aku yang kecil ini pasti lebih awal untuk dibakar di dalam api neraka.'

Begitulah kita, dari sesiapa saja perlu untuk kita ambil pengajaran, walaupun dari orang yang kelihatan tidak gah dimata kita. Setiap makhluk punya kualiti yang tersendiri. Maka boleh untuk kita belajar berpandukan kualiti yang telah kita lihat itu.

2. Nikmat yang Ditarik

Penyampai bercerita berkenaan pengalaman beliau yang hilang kawalan separuh kepala. Sebelum ini, kita menganggap apa yang ada di badan kita sesuatu yang biasa dan milik kita. Akan tetapi bila kita hilang sikit sahaja daripada 'nikmat biasa' yang kita ada ini, barulah kita sedar betapa besarnya nikmat yang kita ada dan tidak kita jaga sebaiknya. Maka, perlulah kita sentiasa bersyukur atas semua nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Motivasi pagi ini diakhiri dengan kesimpulan daripada pengerusi iaitu Syairah. Kita perlulah bergantung sepenuhnya kepada Allah, sebagaimana firman Allah:
Katakanlah, cukuplah Allah bagiku, tiada Tuhan selain Dia, dan kepadaNya aku bertawakkal dan Dialah yang memiliki Arasy yang agung.

At-Taubah

Belajarlah daripada alam sekeliling, dan pandanglah ia dari sudut yang positif.

Tiada ulasan: