Isnin, Jun 27, 2011

Motivational Talk : Pemaaf

Penyampai : Nur Adilah Mohd Paiz
Tarikh : 27 Jun 2011

Motivasi pagi pada semester ini diteruskan oleh Adilah sebagai pembukanya. Tajuk yang diperkatakan oleh Adilah adalah 'pemaaf', dimana memaafkan adalah sesuatu yang saban kali berlaku dalam kehidupan kita, sama ada secara sedar ataupun tidak. Kita seringkali mudah untuk memaafkan, bahkan tidak sedar sama sekali ada perkara yang berlaku seandainya perkara itu kecil, remeh ataupun tidak menyentuh sensitiviti kita sama sekali.

Tapi mudahkah untuk memaafkan?

Adilah membawa kita sebuah cerita yang acapkali kita dengar berkenaan sifat pemaaf junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Cerita ini berkenaan dakwah baginda ke Thaif yang mendapat sambutan yang buruk daripada orang-orang Thaif. Baginda bukan sahaja dimaki dan dicaci, malahan dibaling batu oleh penduduk di situ sehingga basah tubuh baginda dengan darah.

Jibril telah menawarkan diri untuk menimpakan bala ke atas penduduk Thaif dengan menghempap mereka dengan gunung. Akan tetapi baginda menolaknya, dan mengatakan 'Mereka tidak tahu.' Baginda malah memaafkan mereka.

Menurut cerita di atas, dapatlah kita ambil pengajaran bahawa tidaklah wajar untuk seseorang untuk menghukum seseorang yang lain atas kesalahan yang tidak mereka tahu. Tambahan lagi, cerita di atas seperti mengesahkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang sepatutnya kita jadikan idola dan contohi.

Berikutan tajuk pemaaf ini, terdapat beberapa tambahan daripada audien yang ingin saya petik. Salah satu daripadanya ialah daripada Puan Puziah, yang mengatakan bahawa sifat pemaaf itu datangnya daripada sabar seperti satu pakej. Maka untuk menjadi seseorang yang pemaaf, sifat sabar itu terlebih dahulu mestilah dipupuk sedari awal. Seperti juga cerita di atas, Nabi bersabar dengan layanan buruk daripada penduduk Thaif. Kerana sabar itulah baginda mampu untuk memaafkan mereka.

Alimie pula menambah menurut satu pendapat yang pernah didengarnya, dikira jihad jika kita mempertahankan empat perkara berikut:

1. agama
2. nyawa
3. maruah
4. harta

Syairah pula mengatakan bahawa memaafkan bukanlah sesuatu yang mudah. Jika kita amat terasa dengan seseorang memang susah untuk memaafkan. Analogi yang diberi adalah seperti memaku di atas sebatang kayu. Kalau dicabut paku itu sekalipun, kesannya masih berbekas pada kayu. Begitulah kalau hati kita terguris dengan perkataan mahupun perbuatan, kesannya masih akan ada dan terus kekal walaupun sudah memaafkan.

Tiada ulasan: