Isnin, Julai 25, 2011

Motivational Talk : Masalah dan Diri Kita

Penyampai : Nurul Amira Husna Binti Sharrudin
Tarikh : 18 Julai 2011

Motivasi kali ini berkenaan masalah dan bagaimana untuk mengendali dan menerima masalah tersebut. Penyampai bercerita tentang seorang lelaki yang suka mengeluh dek masalah yang dihadapinya. Pada suatu hari, lelaki tersebut membawa diri ke hujung kampung. Di hujung kampung tersebut terdapat sebatang sungai. Di sana, lelaki itu ingin melepaskan tekanan yang dihadapinya.

Di tepi sungai tersebut, ada seorang lelaki tua. Lelaki tua itu kelihatan tenang saja riak wajahnya dan perlakuannya. Si lelaki yang suka mengeluh itu meluahkanlah apa yang ditanggungnya kepada lelaki tua itu. Setelah selesai bercerita, si tua mengajak lelaki yang suka mengeluh itu ke satu tempat.

Di tempat tersebut, terdapat sebuah kolam, sebiji cawan dan dua bungkus garam. Si lelaki tua menyuruh lelaki yang suka mengeluh itu mengambil cawan tersebut dan menceduk air kolam tersebut. Seterusnya disuruhnya mengambil sebungkus garam dan isikan garam tersebut ke dalam cawan. Bila disuruh dihirup airnya, lelaki yang suka mengeluh itu mengatakan air itu masin.

Lelaki tua itu seterusnya menyuruh lelaki yang suka mengeluh itu mencurahkan sebungkus garam yang tinggal itu ke dalam kolam dan dihirup airnya. Lelaki yang suka mengeluh itu mengatakan air itu tidak masin seperti air di dalam cawan.

Garam itu ibaratkanlah seperti masalah, cawan dan kolam sebagai hati kita. Andai hati kita kecil seperti cawan itu, kita akan rasa sangat terbeban dengan masalah yang kita hadapi. Manakala andai hati kita besar seperti kolam itu, masalah itu tidak membuat kita terasa susah hati malah boleh membuat kita tersenyum.

Pengajaran daripada cerita di atas:
Berlapang dadalah atas masalah yang datang. Allah memberi kita ujian dan masalah berdasarkan kemampuan kita. Dia tidak akan menzalimi kita dengan memberi sesuatu yang tidak mampu untuk kita tanggung.

Tiada ulasan: