Isnin, Februari 21, 2011

Motivational Talk: Ikhlas

Penyampai : Muhammad Nasrul Abu Bakar
Tarikh : 21 Februari 2011

Motivasi pagi kali ini dimulakan dengan memperkenalkan satu seni nyanyian yang dipanggil 'Nazam'. Nazam popular di Melaka. Seni ini dibawa dari tanah Arab, yang dimulakan dengan selawat dan mempunyai unsur-unsur agama. Kini, terdapat nazam asli dan nazam moden. Ianya selalu dinyanyikan oleh kaum perempuan dan dinyanyikan untuk memulakan majlis.

Kemudian, penyampai meneruskan dengan tajuk utama, iaitu ikhlas.

Penyampai menceritakan tentang pengalaman beliau ke Kuala Lumpur dan terjumpa sekumpulan pelajar yang sedang menyampaikan dakwah kepada pelancong-pelancong asing yang datang ke Masjid Negara. Terdapat risalah-risalah yang diedarkan oleh sekumpulan pelajar tersebut, dan salah satunya berkisar tentang ikhlas.

Maksud hadith:
Terdapat tiga perkara yang mengiringi seseorang ke liang lahad, iaitu keluarga, harta dan amal. Keluarga akan meninggalkan kita di kubur, harta pun akan pergi tinggalkan kita, cuma amal sahaja yang akan menemai kita di dalam kubur.

Ikhlas termasuklah dalam golongan amal itu.

Ikhlas diumpamakan sebagai seekor semut hitam , di atas batu berwarna hitam di malam yang gelap gelita. Maksudnya, ikhlas ini begitu sukar untuk dilihat pada mata kasar dan hanya kita sahaja yang tahu.

Ada seorang murid, sedang belajar dengan seorang guru. Pada satu hari, gurunya menyuruh si murid mengambil sebuah guni dan mengikutnya ke pasar. Dalam perjalanan, apabila berjumpa sahaja dengan batu-batu yang besar, si guru menyuruh muridnya untuk mengutip batu itu dan memenuhkan guni dengan batu-batu itu. Kemudian, mereka meneruskan perjalanan ke pasar.
Akan tetapi, mereka tidak berhenti di mana-mana semasa di pasar. Mereka hanya berjalan-jalan, dan kemudian pulang.

Dalam perjalanan pulang, mereka bertemu dengan orang yang juga menggunakan jalan itu. Apabila mereka melihat si murid memikul guni yang nampak berat dan penuh berisi, mereka menegur, 'Banyaknya beli barang. Mesti orang ini kaya.' Ada juga orang yang menegur, 'Banyaknya beli barang. Mesti nak buat kenduri.'

Apabila sampai di tempat mereka, si murid bertanya, 'Apa yang kita belajar sebenarnya pada hari ini?'

Gurunya menjawab, 'Kita belajar mengenai ikhlas. Orang memandang kita, dan mengandaikan bermacam-macam apabila melihat guni yang berat dan berisi itu. Akan tetapi hanya kita sahajalah yang tahu apa sebenarnya yang kita bawa. Begitulah amalan kita. Orang akan mengandaikan bermacam-macam melihat amal yang kita lakukan, tetapi hanya kita sahajalah yang tahu nilai keikhlasan amalan kita itu.'

Tiada ulasan: