Jumaat, Februari 18, 2011

Sambutan Maulid Nabi Peringat IPGKTAA 2011


Satu sambutan sempena ulangtahun kelahiran rasul kita, Nabi Muhammad s.a.w, atau umum disebut sebagai Maulidur Rasul, telah diadakan pada peringkat IPGKTAA pada malam 17 Februari 2011, iaitu pada malam Jumaat baru-baru ini. Sambutan ini dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib bersama-sama, membaca surah Yaasin dan tahlil serta solat Isya’ berjemaah. Selepas Isya’, para pelajar Muslim serta pensyarah berarak sambil berselawat kepada RasuluLlah, daripada perkarangan surau Asy-Syafie sehingga ke Dewan Darul Makmur, mengiringi sepanduk-sepanduk yang telah dilukis oleh jabatan masing-masing.




Acara kemudian diteruskan dengan ceramah sempena Maulid Nabi ini, oleh Ustaz Mohd Akmal bin Abdul Manaf, Imam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis.
Isi ceramah ini berkisar tentang Nabi Muhammad s.a.w, bagi mengingat kembali sirah baginda, juga mengupas sedikit sebanyak berkenaan kehebatan baginda, keistimewaan, akhlak dan perilaku Nabi, juga tanggungjawab kita sebagai umat Islam, sebagai umat Muhammad ini dalam menjalani hidup di dunia ini.






Pertama sekali, kami diingatkan untuk membetulkan niat dalam melakukan ibadat kepada Allah SWT. Ini kerana, setiap ibadat yang dilakukan pastilah kerana ingin mendapatkan redha Allah SWT, dan mengharapkan syurganya. Maka, luruskan niat, insyaAllah usaha kita akan mendapat keberkatan.


Ustaz Mohd Akmal memulakan kisah berkenaan Nabi Muhammad s.a.w dengan menyatakan kehebatan-kehebatan Nabi. Ini bukanlah kehebatan-kehebatan yang ada seperti dalam watak-watak cerita fiksyen, ataupun punya ‘magic’ yang hebat. Kehebatan-kehebatan ini boleh kita praktikkan dalam kehidupan kita sebagai manusia, sekaligus mengesahkan bahawa Nabi Muhammad ini layak dan wajar untuk kita jadikan contoh tauladan dan role model.

Kehebatan yang pertama adalah pada nama baginda sendiri. Nama Muhammad ini, yang bermaksud ‘yang terpuji’, adalah yang pertama sekali pada zaman baginda, dinamakan pada anak-anak yang baru lahir. Baginda juga digelar sebagai Al-Amin, bermaksud yang amanah. Nama-nama ini memberi gambaran bahawa anak ini mempunyai sifat-sifat terpuji dan berakhlak mulia. Maka, kini, nama Muhammad merupakan nama yang paling popular dinamakan pada anak-anak. Harapan ibu bapa, pastilah supaya anak ini menjadi insan yang mulia dan terpuji. Dan kita disarankan untuk meletakkan nama-nama yang baik kepada anak-anak kita, dan memanggil orang dengan panggilan yang baik. Ini kerana, nama dan panggilan itu merupakan satu doa. Andai kita menamakan anak dengan nama yang baik, dipanggil dengan panggilan yang baik; insyaAllah ‘doa-doa’ kita itu dimakbulkan Allah.

Kehebatan Nabi yang kedua adalah terletak pada nasab keturunan baginda. Baginda lahir dalam keturunan yang baik-baik, yang merupakan keturunan pemimpin Mekah, yang punya kehormatan dan maruah yang tinggi. Keturunan ini juga, merupakan satu perkara yang tidak dapat digunakan oleh pihak Musyrikin Mekah untuk diburuk-burukkan. Dan, semasa baginda mengutuskan perutusan kepada raja-raja Rom, Parsi dan yang lain, perkara pertama yang ditanya oleh pemimpin-pemimpin tersebut adalah, bagaimanakah kedudukan RasuluLlah dikalangan masyarakat Mekah.
Bagaimana dapat kita praktikkan dalam kehidupan? Di sinilah terletaknya tanggungjawab sebagai ibubapa dalam mendidik anak-anak supaya berakhlak yang mulia. Dimanakah akan tumpahnya kuah andai tidak ke nasi? Untuk meluruskan anak-anak, diri kita sendiri perlulah lurus. Seperti satu pepatah ini; bagaimana mungkin kayu yang bengkok dapat menghasilkan bayang yang lurus.

Dan kehebatan RasuluLlah yang paling ketara sekali adalah akhlak baginda. Akhlak inilah antara faktor utama kejayaan RasuluLlah menyebarkan agama Islam ini dengan jayanya. Kita semua sudah fasih dengan bagaimana si yahudi buta yang suka mencerca Nabi boleh tertarik dan menerima Islam dek murninya akhlak Nabi. Nabi tidak membalas sesuatu untuk dirinya, sebagai contoh tidak melenting bila dihina, dibaling najis, dilempar batu hingga badan dibasahi dengan darah, melainkan sekiranya perkara itu jelas melanggar syariat Allah. Kesabaran Nabi sangatlah tinggi. Kalaulah nak dibandingkan dengan kita, kalau terdengar orang mengeji kita sikit pun, sudah mengamuk sampai berparang-parang. Dimanakah kasih sayang kita kepada Nabi andai sunnah Nabi pun susah sangat untuk kita amalkan?

Nabi juga terkenal dengan sifat kasih sayang yang tinggi. Lihat saja bagaimana Nabi melayan isteri-isteri baginda, tidak kira usia dan paras rupa, semuanya dilayan dengan saksama. Pernah diceritakan, satu masa baginda makan bersama dengan dua orang isteri baginda, seorang lebih tua daripada baginda, dan seorang lagi Aishah yang sungguh muda pada masa itu. Kedua-dua isteri baginda mengatakan bahawa dirasakan merekalah yang paling disayangi baginda melebihi orang lain. Baginda menyuapkan makanan kepada isteri baginda yang tua dan muda, kedua-duanya dengan mesra dan kasih sayang, hingga keduanya sama-sama gembira dan rasa disayangi. Mana mungkin andai kita ini, akan sama rata melayan isteri yang muda dan tua dalam masa serentak. Pastinya kita akan melebihi isteri yang lebih muda dan lebih cantik.


Ustaz Mohd Akmal juga memberikan satu penyataan yang membuatkan kita bertanya kepada diri kita sendiri. Nabi hidup selama 63 tahun. Selama 63 tahun itu, Nabi tidak pernah sekali pun berbohong, apatah lagi berkata apa-apa yang kosong dan kotor. Kalau kitalah, bukan saja biasa berbohong, berborak-borak kotor sudah pun jadi kebiasaan dan norma dalam hidup. Tiap petang ramai-ramai berkumpul, ‘berusrah’, mengumpat dan menceritakan hal orang itu dan orang ini. Manakah peribadi kita sebagai seorang Muslim?


Sebagai umat Islam, seorang Muslim, kita punya tanggungjawab-tanggungjawab yang wajib kita laksanakan berkenaan rasul kita.

Pertamanya, kita hendaklah beriman dengan risalah yang dibawa oleh Nabi. Mana boleh kita nak percaya separuh dan tak percaya separuh. Contohnya, kita percaya kerasulan Nabi Muhammad, tapi kita tak percaya berkenaan isra’ dan mi’raj.

Keduanya, kita mestilah mengikut sunnah Nabi. Sebagai seorang lelaki, bukan sunnah kahwin empat itu yang menjadi ikutan semata, tapi berlaku adil dan melayan isteri dengan baik dan lemah lembut; itulah yang perlu menjadi keutamaan.

Ketiganya, menziarahi maqam baginda. Bagi sesiapa yang berpeluang menunaikan haji, ambillah peluang untuk menziarahi maqam baginda di Masjid Nabawi.

Keempatnya, jadikan satu kebiasaan berselawat kepada baginda. Sesungguhnya sekali kita berselawat kepada Nabi, Allah akan berselawat sebanyak 10 kali kepada kita, dan Nabi sendiri akan menjawab selawat dan salam kita itu. Dan banyak kebaikan dan kelebihan disediakan kepada orang yang berselawat kepada Nabi sama ada di dunia dan di akhirat nanti.

Dan kelimanya, sebarkanlah sunnah Nabi supaya semua orang tahu dan insyaAllah mengamalkannya. Sebar ini bukanlah dengan menghantar rantaian e-mail atau post di Facebook dan sebagainya. Tapi sebarkanlah melalui perbuatan kerana itulah yang sebaiknya. Sunnah ini untuk diamalkan, bukanlah untuk dijaja begitu saja.


Ustaz Mohd Akmal juga menyenaraikan perkara-perkara yang Nabi istiqamah atau terus-terusan melakukannya:

Bangun tengah malam untuk bertahajud dan bermunajat setiap malam. Nabi adalah seorang yang maksum, dan telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Namun baginda tetap beribadat banyak dan bersungguh-sungguh, seperti orang yang banyak dosanya. Pandang diri kita, muhasabah, kemudian bandingkan dengan ibadat Nabi. Dimanakah tahap kita?

Solat dhuha setiap hari, untuk memudahkan rezeki dan urusan kita.

Solat berjemaah walaupun dalam keadaan sakit.

Membasahkan bibir dengan berzikir iaitu mengingati Allah. Allah sendiri mengatakan di dalam Al-Quran, bahawa dengan mengingatiNya, hati boleh menjadi tenang. Jadi tidak dinafikan bagaimana Nabi boleh menjadi tenang walau dicerca dan dibaling dengan najis atau batu, dan pemikiran yang tenang juga banyak membantu dalam urusan seharian seperti urusan negara misalnya.

Membanyakkan bacaan Al-Quran. Kita sering beralasan tidak punya waktu untuk membaca Al-Quran. Tetapi bacalah Al-Quran itu walaupun hanya satu huruf. Ganjaran bagi mereka yang membaca Al-Quran ialah sebanyak 10 ganjaran bagi satu huruf. Ganjaran itu tidaklah kita ketahui, tapi pastinya sesuatu yang besar. Takkanlah Allah nak beri sesuatu yang simple dan tidak berbaloi kepada kita

Kekal dalam keadaan bersih dan berwudhu.

Membanyakkan bersedekah. Seandainya kita menyedekahkan sebutir gandum misalnya, kebaikan sebutir gandum itu seumpama bila ia tumbuh, akan membesar menjadi 7 tangkai, dan setiap tangkai membuahkan 100 lagi butir gandum. Begitulah sedekah kita akan berkembang.


Selepas ceramah, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang melukis sepanduk. Jabatan kami, iaitu Jabatan Sains dan Matematik mendapat tempat ketiga. Selepas majlis bersurai, kami dijamu dengan jamuan ringan.



Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal di Saifulislam.com, ingatlah tarikh 12 Rabi’ulawal itu sebagai tarikh wafatnya RasuluLlah juga kerana di saat itulah RasuluLlah meninggalkan kita. Ingatan kepada Nabi bukanlah hanya di masjid-masjid, di majlis ilmu mahupun semasa Maulid Nabi semata, tetapi hendaklah kita selalu ingati dalam tindak-tanduk kita bagi melazimkan sunnah dan menzahirkan cinta kita kepada Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan: