Isnin, Februari 07, 2011

Motivational Talk : Himpunan Tiga Cerita

Penyampai: Mohd Afnan Tumiran
Tarikh: 7 Februari 2011

Cerita Pertama

Pada zaman penyebaran agama Islam, ada diceritakan Rasulullah s.a.w sentiasa menyuapkan makanan kepada seorang kafir yang buta. Orang buta yang tidak tahu bahawa yang menyuapkan makanan itu ialah Rasulullah, juga mendengar berita tentang agama baru itu selalu memberi amaran kepada orang yang menyuapkannya itu supaya berhati-hati pada 'penyair' (Rasulullah), mengeji dan memburukkan baginda.

Setelah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar ingin meneruskan pekerjaan yang selalu dilakukan Rasulullah semasa hayat baginda. Satu masa, Saidina Abu Bakar bertanya kepada Saidatina Aishah, apakah lagi pekerjaan yang tidak beliau lakukan. Maka Aishah bercerita berkenaan orang kafir buta itu. Maka Saidina Abu Bakar pun pergi bertemu orang buta itu ddengan niat untuk menyuapkan makanan kepadanya. Namun orang kafir buta itu terasa kelainan pada orang yang menyuapkannya. Bila Saidina Abu Bakar menyatakan bahawa dialah orang yang selalu menyuapkannya, orang buta itu berkata 'Orang yang selalu menyuap aku melembutkan dulu makanan sebelum menyuapku.'

Saidina Abu Bakar setelah itu menjelaskan bahawa orang yang selalu menyuapkan makanan kepada orang buta itu ialah Rasulullah sendiri. Apabila orang buta itu mengetahui, dia terkejut kerana dia selalu mengeji Rasulullah di hadapan baginda tanpa mengetahui orang yang berbuat baik kepadanya adalah Rasulullah sendiri. Dengan rahmat Allah, orang kafir buta itu memeluk Islam.

Pengajaran bagi cerita di atas, kita hendakalah berkasih sayang antara satu sama lain. Untuk mengajak orang kepada kebaikan, hendaklah kita rendahkan ego kita supaya orang menjadi sayang bagi kita dan memudahkan kita untuk menasihati dan mengajak mereka kepada kebaikan.


Cerita Kedua

Penyampai menceritakan berkenaan aktiviti konvoi yang telah beliau sertai pada hujung minggu lepas bagi membantu mangsa banjir di Gemas. Antara kawasan yang terlibat ialah sebuah sekolah rendah agama. Di sana, mereka membersihkan kawasan sekolah dan mengeringkan buku-buku teks yang basah ditenggelami air.

Selain itu, mereka juga membersihkan kawasan taman perumahan. Di sana, bantuan seperti beras, tikar dan baju juga diberikan. Ada satu peristiwa semasa mengagih-agihkan beras, ada penduduk yang naik berang. Menurut penyampai, lelaki tersebut berasa marah kerana terpaksa memulangkan beras berlebihan yang diambilnya.

Peristiwa ini menjelaskan bahawa orang yang ditimpa bencana mempunyai perasaan yang sangat sensitif. Mereka yang ingin memberikan bantuan hendaklah melakukan dengan penuh kasih sayang dan berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan orang ingin dibantu.


Cerita Ketiga

Jika anda sakit, anda tidak boleh menceritakan tentang sakit anda, kecuali kepada dua orang:

1. Doktor, bagi mendapatkan rawatan
2. Orang soleh, bagi mendoakan bagi si sakit

Ibnu Sina merupakan salah seorang doktor yang terbaik dan terhebat pada masa dulu. Ada seseorang yang sakit datang kepadanya. Setelah memeriksanya, Ibnu Sina mendapati pesakit tersebut tidak dapat dirawat lagi.

Pesakit yang sedih dan hampa itu diberitakan kepada kawannya untuk bertemu dengan seorang 'abid yang tinggal di hujung kampung. Maka pesakit tersebut pergi bertemu dengan ahli 'abid yang dikatakan sahabatnya itu. 'Abid tersebut mendoakan supaya kesihatan dikembalikan kepada orang itu. Kemudian, 'abid tersebut menyuruh pesakit itu balik.
Apabila pulang, pesakit itu bertambah sihat.

Sebenarnya, untuk melakukan sesuatu, hendaklah ada doa, disertai dengan usaha. Usaha tersebut hendaklah dilakukan dengan istiqamah dan tidak dengan separuh hati, serta hendaklah bertawakal.


Motivasi pagi pada hari ini ditutup oleh satu doa yang ditinggalkan oleh pengerusi majlis:
Ya Allah, kurniakanlah aku ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesihatan yang baik.

Tiada ulasan: