Isnin, Januari 24, 2011

Motivational Talk: Amalan Sunat Hari Jumaat

Penyampai: Norhakimah Mohd Ismail
Tarikh: 24 Januari 2011

Motivational talk pada tahun ini dimulakan pada hari ini. Motivasi yang disampaikan pada hari ini berkisar kepada amalan sunat pada hari Jumaat, berdasarkan satu artikel di dalam majalah Solusi edisi ke 27.


Terdapat beberapa amalan sunat yang disebutkan berkenaan dengan hari Jumaat. Yang paling utamanya ialah berselawat ke atas Nasi SAW.
Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:
Perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat. Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat dan memberikan salam kepadanya sepuluh kali.
Riwayat al-Baihaqi
Umpamanya, andai kita memberi sedekah sebanyak RM1, orang bagi semula pada kita RM10. Bukankah itu satu keuntungan yang sangat besar?


Amalan kedua yang disebut oleh penyampai ialah membaca surah Al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat. Kebiasaan kita di negara ini adalah membaca surah Yaasin. Akan tetapi amalan Nabi pada malam Jumaat adalah membaca surah Al-Kahfi.
Abu As'id meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka ia akan diterangi oleh cahaya antara dua Jumaat.
Riwayat al-Nasa'i dan al-Baihaqi


Seterusnya, ialah mandi sunat ,bersiwak, berhias dan memakai wangi-wangian.
Daripada Ibn Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya hari ini (Jumaat)ialah Hari Raya yang Allah jadikan untuk kaum Muslimin. Sesiapa yang mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah ia mandi. Jika ia memiliki minyak wangi, maka handaklah ia memakainya. Handaklah pula kalian bersiwak.
Riwayat Ibn Majah dengan sanad hasan

Bagi lelaki, mereka haruslah bersegera untuk hadir ke masjid untuk solat Jumaat. Usahlah tunggu sehingga dah nak azan baru nak ke masjid.
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah daripada Rasulullah, ringkasannya seperti berikut:
Andai kita masuk ke masjid pada...
- awal waktu : ganjarannya seolah-olah kita berkorban seekor unta
- waktu kedua : ganjarannya seolah-olah kita berkorban seekor lembu
- waktu ketiga : ganjarannya seolah-olah kita berkorban seekor kambing kibas
- waktu keempat : ganjarannya seolah-olah kita berkorban seekor ayam
- waktu terakhir : ganjarannya seolah-olah kita berkorban sebiji telur

Maka, yang mana satu yang kita ingini kalau bukan yang terbesar dan terbaik?


Kemudiannya, apabila sudah ke masjid, hendaklah berusaha untuk duduk dengan imam dan mendengar khutbah yang disampaikan.
Samurah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Hadirilah khutbah dan mendekatlah kepada imam. Sesungguhnya seseorang yang sentiasa menjauh akan diakhirkan tempatnya di syurga meskipun ia memasukinya.
Riwayat Abu Daud dan al-Hakim

Semoga motivasi yang telah disampaikan ini bukan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tetapi masuk telinga kanan dan terus lekat dihati.

WaLlahu'alam.

Tiada ulasan: