Rabu, Januari 19, 2011

Sadness of Palestine : A Recap



Pada 18 Januari 2011, satu pembentangan berkenaan Palestin telah dilaksanakan oleh wakil daripada Aman Malaysia Berhad, yang dianjurkan di bawah Exco Kerohanian 1, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGTAA. Maka, bahagian kerohanian Science Crew Society (SCS) telah mencadangkan pembentangan ini dihadiri oleh semua ahli unit Sains dan dijadikan salah satu aktiviti bagi SCS. Acara ini bermula kira-kira 8.30 malam dan berakhir pada jam 11.00 malam.



Pembentangan berkenaan Palestin ini telah dilakukan oleh Ustaz Mohd Sabri bin Muda, wakil Aman Palestin Berhad cawangan Pahang.


Pada permulaannya, kami diperkenalkan dengan apakah Masjidil Aqsa itu sebenarnya, yang sebelum ini selalu disalahfahamkan dengan gambar masjid berkubah kuning (iaitu Dome of Rock / Masjid Qubbat As-Sakhrah) juga gambar masjid berkubah hijau. Kini, masjid berkubah hijau itu dipanggil sebagai Masjid Al-Aqsa, yang dimulakan pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniyyah. Sebelum itu, keseluruhan kawasan bertembok yang melingkari beberapa buah masjid dan kawasan sekitarnyalah yang dipanggil sebagai Masjid Al-Aqsa. Namun kini keseluruhan kawasan itu dipanggil sebagai Haram As-Sharif.


Lakaran kasar Masjid Al-Aqsa (sumber : Google Satellite)


Seterusnya pembentangan diteruskan dengan memperjelaskan sejarah Palestin sejak dari beberapa belas ribu tahun sebelum Masihi hingga kini. Penjelasan berkenaan sejarah ini adalah penting bagi menangkis pengakuan daripada pihak Israel bahawa tanah Palestin itu adalah milik mereka, padahal yang sebenarnya adalah milik orang-orang Kan'an, iaitu keturunan majoriti penduduk Palestin.
Untuk maklumat lanjut, sila layari : http://palestinehistory.com/history/brief/brief.htm

Bercakap mengenai Israel, sejarah telah melakarkan bahawa orang Yahudi seluruh dunia telah dilayan dengan teruk sekali. Dengan itu, satu inisiatif untuk menubuhkan satu negara untuk orang Yahudi telah cadangkan dan seiring dengan bermulanya fahaman Zionism, dan rancangan penubuhan negara ini direalisasikan setahun sahaja lewat daripad tarikh yang dirancangkan, iaitu pada tahun 1948. Tarikh ini telah dikenang oleh umat Islam serata dunia sebagai 'Nakbah Palestin' bagi mengingati kejatuhan negara itu dan bermulanya negara yang bernama Israel.


Perubahan penempatan Palestin-Israel dari tahun 1946 -2000
(kredit gambar: sauer-thompson.com)


Sejak tahun tersebut, kawasan-kawasan tempat tinggal dan kebun-kebun orang-orang Palestin makin banyak yang dimusnahkan bagi membina semula penempatan bagi orang-orang Yahudi. Orang-orang Palestin juga dihalau dari rumah mereka sendiri. Mereka sama ada menjadi pelarian di negara-negara sekitar, mahupun dibunuh sekiranya tidak berpindah. Cara yang digunakan oleh mereka juga sangat kejam; mengebom, menembak sesuka hati, juga menggunakan jentolak.


Lenakah tidur kita andai kita tinggal di dalam rumah yang penuh lubang-lubang peluru seperti ini?
(kredit gambar : alternativenews.org)


Penderitaan penduduk di Gaza juga dipaparkan. Umum diketahui kawasan sekitar Gaza telah dibina satu tembok yang tinggi, juga di bawah tanah juga ditanam tembok keluli bagi menghalang penduduk Gaza daripada mengorek terowong. Kawasan perairan juga dikawal, dimana hanya boleh untuk berada 3 kilometer sahaja daripada kawasan pantai.


Penyeludupan melalui terowong (kredit gambar: msnbc.msn.com)


Pembentangan tersebut juga diselitkan dengan video-video menyayat hati berkenaan penduduk Palestin di Gaza juga pelarian-pelarian Palestin. Mungkin kita selalu melihat gambar-gambar, berita, dan video-video berkenaan saudara kita di sana, tapi kesakitan, penderitaan, ketakutan yang dialami mereka tak mungkin dapat kita fahami melainkan kita sendiri yang merasakannya. Dan bak kata Ustaz Mohd Sabri, usahlah bertanya bagaimana dapat kita pergi berjihad ke sana, tapi tanyalah diri kita; layakkah aku untuk pergi berjihad bersama mereka?


(kredit gambar: reeab.multiply.com)


Tiada ulasan: