Sabtu, Januari 22, 2011

Soalnya Siapa?




Apabila kita bercakap berkenaan dakwah, pasti ramai yang akan diam membisu. Semua takut, semua serba salah. Ayat-ayat yang kedengaran pasti berbunyi lebih kurang, 'Aku pun bukan baik sangat', ataupun 'Bukan kerja aku, kenapa aku nak ambil kisah?'

Andai kita tukar perkataan itu kepada nasihat, atau teguran, pasti akan ada yang mula tampil ke hadapan. Sudah ada yang berani bersuara.

Di sini aku tampilkan satu puisi, buat renungan dan ingatan kita bersama. Kredit untuk penyumbang yang tidak dapat dikenalpasti.

Islam Untuk Semua,
Agama itu nasihat,
Nasihat untuk semua,
Pemimpin dan ahli wajib menerima nasihat.

Jangan halang orang yang memberikan nasihat,
Kerana tidak ada beza dengan toghut yang dilaknat,
Halang nasihat sama juga redha maksiat,
Akibatnya azab pedih di akhirat.

Nasihat Untuk Semua,
Kita semua perlu berlapang dada,
Jangan kerana kita terasa,
Kita menghalang penasihat di sana.

Nasihat Untuk Semua,
Maksiat mad'u kita cegah,
Maksiat diri tidak mau cegah,
Apa beza kita dengan si toghut penderhaka?

Nasihat Untuk Semua,
Jangan hanya berani berkata benar pada sahabat kita,
Tetapi kita tidak berani berkata benar pada diri kita,
Itu namanya retorik belaka.

Nasihat Untuk Semua,
Maaflah jika ada terluka,
Kerana ini benar belaka,
Mari bersama kita bermuhasabah.

Nasihat Untuk Semua,
Kalau difahami baguslah ia,
Hanya sekadar luahan bersama,
Amat berharap kemaafan semua.

Selalu benar kita melenting apabila orang menegur kesalahan kita. Tambahan lagi apabila kita merasakan tidak selayaknya seseorang itu melahirkan sesuatu yang mengaibkan kita. Manusia punya ego, walau siapa pun. Sukar untuk kita berlapang dada dalam menerima satu teguran, sama ada ikhlas mahupun tidak.

Oleh sebab itu, ramai yang mengambil keputusan untuk tidak 'menjaga tepi kain orang'. Melihat orang membuat maksiat pun, hanya cakap antara sesama dan tidak berdepan dengan orang tersebut. Maka terus-terusanlah orang itu berbuat dosa. Walau betapa alimnya seseorang itu, tak semestinya dia menjadi seseorang yang maksum. Pasti akan ada satu masa dia terpesong juga, sama ada dia sedar ataupun tidak.

Islam itu nasihat. Maknanya, Islam menganjurkan sesama kita untuk ingat mengingati. Hari ini aku buat salah. Seorang kawan bawa semula ke pangkal jalan. InsyaAllah kalau bukan hari ini, esok lusa aku akan sedar. Begitulah analoginya.

Berkata-katalah dengan baik, dengan lembut. Kata-kata yang kasar akan menyakitkan hati dan mencambahkan kebencian. Dan janganlah aibkan orang.

Ini tanggungjawab kita bersama. Bukan tanggungjawab sesetengah golongan sahaja.
"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah."
Ali 'Imraan (110)

Tiada ulasan: