Isnin, Februari 14, 2011

Motivational Talk: Ikhtilaf

Penyampai: Muhammad Syauqi bin Zainal Abidin
Tarikh: 14 Februari 2011

Ikhtilaf adalah satu perkara yang selalu kita alami, tapi tak pernah kita tahu akan istilahnya sama ada dari segi bahasa mahupun konsepnya.

Ikhtilaf dari segi bahasa bermaksud percanggahan.

Terdapat dua jenis ikhtilaf, iaitu ikhtilaf berkenaan perkara-perkara furuq iaitu perkara-perkara cabang seperti perkara dalam hukum hakam serta cara melakukan ibadah dan cara hidup, dan ikhtilaf berkenaan perkara-perkara usul iaitu perkara-perkara asas yang berkenaan dengan akidah.

Terdapat adab-adab dalam menangani ikhtilaf ini. Dalam menghadapi ikhtilaf dalam perkara furuq, kita hendaklah berlapang dada. Ini kerana terdapat berbagai percanggahan walaupun dalam agama, dan percanggahan ini adalah berbeza sama ada dalam konteks mazhab dan juga dalam budaya sesetengah negara atau kaum. Sebagai contohnya, terdapat mazhab yang tidak mewajibkan bagai wanita menutup kakinya. Ada juga mazhab yang apabila solat, tangan tidak di'qiam'kan di pusat tetapi sama ada di dada, mahupun tidak ber'qiam' langsung.

Bagi menangani ikhtilaf atau percanggahan dalam perkara yang berkaitan dengan akidah, kita tidak boleh berlapang dada, malah perlu untuk kita banteras dan tangani. Sebagai contohnya andai seseorang itu tidak menerima hadith RasuluLlah, atas alasan ianya hanyalah kata-kata seorang manusia, ataupun sebab tidak percaya dengan kewibawaan periwayat-periwayat hadith.

Antara cara untuk berlapang dada dalam perkara furuq ialah:
1. Sucikan jiwa
Orang yang menyucikan jiwa mudah untuk berlapang dada, tidak mudah melenting dan berburuk sangka antara satu sama lain

2. Sentiasa merendahkan diri
Sedarlah bahawa kita dicipta daripada air mani yang hina. Maka, siapalah kita untuk merasa orang lain adalah lebih rendah daripada kita.

3. Kurangkan ego
Ego adalah perlu dalam membentuk peribadi juga untuk mendorong seseorang untuk melakukan yang terbaik dalam hidup. Namun ego yang berlebihan boleh menyempitkan diri kita dan seterusnya tidak menjadikan kita seorang yang mampu untuk menerima kelemahan, kekurangan serta kelainan orang lain.

4. 'Open-minded'
Tambahkan ilmu, rajin membaca, menuntut ilmu dan rajin bertanya bagi meluaskan lagi ilmu, dan meluaskan pemikiran kita di luar daripada konteks harian dan normal persekitaran kita.

Demikian merupakan motivasi pagi yang telah disampaikan oleh penyampai pada hari ini.

Motivasi pagi ini ditamatkan dengan penutup oleh pengerusi, iaitu:
Berlapang dadalah kita dalam perkara-perkara yang kita selisihkan, dan tolong-menolonglah kita dalam perkara yang kita sepakati.
Khalifah Umar Abdul Aziz

Berikut pula merupakan maksud ayat 11 Surah Al-Hujurat:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan), dan janganlah perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan(yang mengolok-olok)......

Kita janganlah sekali-kali menghina agama lain. Ini kerana kita tidak tahu akan perancangan Tuhan, dan sebenarnya tergalas tanggungjawab kita untuk menyampaikan Islam kepada orang lain. Maka tidak wajarlah kita menghina mereka, tapi pamerkanlah akhlak yang terbaik sebagaimana sewajarnya seorang Muslim itu.

Dan perlulah kita ingat, sekali seseorang itu melakukan kesalahan dan kesilapan, tidak selama-lamanya dia akan melakukan kesalahan. Maafkanlah dan berlapang dadalah, kerana tidak ada seorang manusia pun di dalam dunia yang tidak pernah melakukan kesalahan.

1 ulasan:

Mohd Alimie berkata...

Ikhtilaf, hampir-hampir tertukar dengan ikhtilat :)